nilai sekeping kupon makanan

Lewat petang beberapa hari yang lepas, anakku suarakan hasrat hatinya mahu mendapatkan ganjaran dari kupon yang diberikan oleh gurunya. Kupon itu ku lihat, hadiah makan percuma untuk kanak-kanak yang baya umurnya. Pada mulanya aku sangat malas untuk melayan permintaannya, Tapi hatiku lelah bila merenung matanya yang mengharap.

Aku mengangguk dalam senyum tanda kasihku untuk tunai hajat hatinya. Lantas disusuli satu lagi permintaannya, diajak bersama seorang kawan baiknya. Kawan itu pernah diceritakan oleh gurunya lewat waktu semasa aku menjemputnya di sekolah, mereka sering berbicara, bergelak tawa dan pernah bergaduh bersama.

Aku gusar, bukan maksudku tidak setuju, aku kagum dengannya yang sangat setia pada sahabat. Namun aku gelisah andai ayah dan ibunya tidak mengizinkan. Aku mula memberikan pilihan, “Kita akan bersama dia kiranya diizinkan ibubapanya”

Anakku girang, matanya bersinar, bibir tersenyum, dia mula berlari sambil melonjakkan badan dan mula menyanyi.

Aku bahagia.

Susur ke rumah sahabat anakku agak lengang, petang itu mungkin semua orang tiada perancangan keluar atau mereka sudah pulang, memandangkan senja mula menjengah dan rintik-rintik halus mula hadir perlahan dari langit yang kelabu, jatuh mengusap cermin kereta yang kupandu.

Tapi hajat anakku tidak tersekat kalau cuma disebabkan petang yang kelam dan hujan yang singgah.

Dia berlari ke pintu rumah flat yang kelihatan telah usang warnanya, aku kira itulah rumah sahabatnya, dia pernah datang beberapa kali dengan gurunya semasa melawat sahabat itu sakit sekitar sepurnama lalu.

Aku mengetuk perlahan, pintu terkuak, muncul empat insan yang kecil dan comel, airmukanya bersih, persis anak yang baik.

Baru ku tahu, mereka berempat rupanya ditinggalkan ibu dan ayahnya keluar mencari sesuap nasi dan tinggallah mereka tanpa orang dewasa. Dua daripada tiga kakak mereka keluar membantu ibu mengambil upah memasak di rumah kenduri, manakala seorang lagi ke kedai, jelas mereka setelah aku mula merungkai persoalan.

Bermakna, petang itu hasrat hati anakku untuk bersantai bersama sahabat baiknya hampir tidak kesampaian. Wajahnya mula berwarna suram, melukiskan runtunan hatinya..

Aku tidak mahu dia kecewa, pantas aku cuba curi hatinya, kami akan tetap ke sana, dan kami akan pulang semula bersama hajatnya untuk dikongsi bersama sahabatnya. Dia mengangguk dalam diam.

Kami kembali semula, bila mendengar salam, mereka berempat menerjah ke pintu seakan tahu bahawa aku telah kembali dengan sedikit makanan yang sangat enak dan amat diimpikan pada mereka, anakku mula menghulurkan pada sahabatnya, adik-adiknya ikut berebut menyambutnya, bagaikan tidak sabar untuk menikmati sesuatu yang sukar muncul tiba-tiba di celah pagar besi itu.

Dan kulihat mereka sangat gembira, mengucapkan terima kasih berulangkali, pantas membuka di tengah ruang rumah yang sempit itu, dan mula berebut menikmati makanan yang kulihat sungguh enak sekali buat mereka.

Aku senyum dalam terkedu.

Di rumah, anakku pelawa duduk bersama di meja buat menemaninya sama-sama menikmati makanan yang sama dibeli tadi. Dalam usaha menjaga hatinya aku makan bersama,

dia gembira, dan aku bahagia,

Aku teringatkan sahabatnya, bersama adik beradiknya, yang sekarang sedang makan bersama di rumah mereka.

Aku hilang selera..

Aku pernah melalui kisah silam yang sukar seperti mereka, aku rasa apa yang mereka rasa hari ini. Aku juga sukar untuk makan apa yang aku inginkan pada satu masa dulu, bila melihat keadaan mereka tadi, aku rasakan sesuatu yang sukar untuk kuucapkan.

Namun aku bangga, anakku seorang yang kasih dan prihatin pada sahabatnya.

Comments

Post a Comment

respon..

Popular posts from this blog

~Jom minum air suam~

Pemberian terselindung

HAKIKAT SEDEKAH