~Sepetang Bersama Ibu~

Assalamualaikum wbt. Salam Ramadhan buat semua umat islam yang dengan penuh tekun dan semangat waja meneruskan ibadah mulia. Pertahankan iman, pertingkatkan amalan.

Jumaat lepas, selamat pulang ke kampung menjenguk ibunda tercinta. Sayu hati bila tengok wajah kesayangan hamba..sudah dimamah usia, sudah banyak kedutan halus, namun masih cantik dan berseri. Pasti ibu sangat cantik di masa mudanya, dengan badan kecil moleknya, apa yang lebih pasti lagi, kecantikan itu memang sudah banyak diwarisi, dan memang terbukti kecantikkannya itu…ah cukup sampai sini nanti riak pula.Astagfirullah…anak-anak ibu kan semua cantik.hiks

~kampung ku indah~


Jam 2.00 pagi tiba di depan rumah, ibu tak tidur malam itu kerana menunggu anak kesayangan tiba, ibu senyum menyambut kami, bersalam dan cium tangan ibu, tangan ibu kecil, namun kulitnya tetap lembut, halus cuma agak lembik kerana kulit tidak tegang lagi, bukan kerana tak pakai SKII, atau kerana tak cukup Nivea, tapi kulit ibu juga bergerak serentak dengan usia, ternyata alam semulajadi membuktikan kulit ibu tetap halus lembut berbanding barangan branded tadi..cukup dengan rutin harian ibu, mampu melembutkan kulit ibu yang sudah cukup cantik.

Ibu masih lagi sihat, cergas dan pantas pergerakannya, malah hamba sendiri kurang pasti dapat ke tidak menyaingi kelajuan ibu bila seumur ibu nanti. Apa yang pasti kalau umur panjang hamba akan lalui detik sekarang yang dilalui ibu.

Rambut ibu masih cantik, kurang lebat, berwarna separuh hitam separuh putih, itu kaler asli, kalau nak dye bukan tak boleh nak pakai daun inai semulajadi, tapi biarlah kata ibu, keaslian kejadian Allah swt kan akan lebih mendekatkan kita mengingati kematian dan menyedari usia? Betul juga..nanti tak insaf pula.

Rambut ibu kekal ikal mayang sangat cantik, dan yang lebih pasti lagi, akulah yang mewarisi ikal mayang itu, sangat cantik beralun dan sangat halus serta lembut..tak perlu pergi panjat bukit nak cari urang aring seperti pesanan nenek kebayan macam iklan syampu sunsilk…dah memang semulajadi kurniaan Allah swt.

Hamba jalin rambut ibu bagi cantik dan kemas, ibu meungut tak bagi katanya beragam sungguh hamba di petang itu…hamba gelak-gelak berama cucu kesayangannya, (yang juga mewarisi ikal mayang sepertinya). Hamba letak sepit butterfly yang cantik warna kuning di hujung rambut ibu, ibu senyum.

rambut ibu kekal ikal dan lembut

Hamba terasa lain benar suasana di petang itu, hamba takut selepas ini hamba tak dapat lagi berguarau dengan ibu..sebab tu bila balik kampung hamba akan bergurau dan menyakat ibu, itulah yang akan jadi kenangan untuk buat hamba tersenyum bila hamba teringat.

Lepas jalin rambut ibu, hamba main-main dengan handphone, ambil gambar ibu, hamba tanya ibu, masa muda dulu cantik macam hamba ke..kata ibu manala dia ingat muka dia masa muda dulu…(hamba paham, ibu tetap juara bertahan ihiks) masa main-main jalin rambut ibu, dia tanya ada kelemumur tak, xde, ada telur kutu tak, xde tapi rasa gatal-gatal kata ibu, sebenarnya itu punca uban yang sudah meriah, tapi hamba kata, kadang-kadang bila panas dan kulit kepala jadi kering boleh jadi gatal. Ibu lega.

bersama cucu kesayangan


Lihat ibu baring di anjung rumah, badan ibu sangat kurus, Nampak tulang belikat ibu, tulang bahu pun ketara tersebul, tulang dada pun melekuk, kesian ibu, tapi katanya makan macam biasa, betul juga hamba juga lihat ibu berselera seperti biasa, makanan pun bukan yang tak berzat/ berkahasiat, cuma bezanya lebih murah @ percuma dari hamba yang kononnya orang kota ini. Yela pucuk putat, pucuk miding, pucuk ketereh, pucuk serai kayu kan pecuma je tepi pagar rumah, malah lagi segar/fresh dari Bandar. Dan itulah yang ibu makan, dan itulah yang buat ibu awet muda.

Ibu juga makan ayam kampung, ikan dan daging lembu tempatan. Ibu tak makan makanan segera apa lagi makanan dalam tin. Sebab itulah ibu tetap sihat cergas walau ibu kurus. Ibu tak perlu diet macam hamba, tak perlu jogging macam hamba, tak perlu susah payah pergi gym macam hamba atau nak beli peralatan gym pastu tak tahu mana nak letak dalam rumah macam hamba…

Pendek kata @ panjang kata, ibu sangat genius daripada hamba uhukk..

Persiapan berbuka puasa petang tu, hamba sungguh bersemangat mahu memasak bersama ibu, hidangan istimewa yang memang tak pernah ditinggal ibu apa lagi di bulan puasa memang jadi kegemaran kami berdua, nasi kerabu !! memang semangat dari awal ibu kutip segala pucuk-pucuk untuk ulam. Memang ibu tahu saya suka benda yang sama ibu suka.

Hamba jadi rajin sungguh di petang itu, hama punggah kayu api di belakang rumah, berpanas main dengan api dan asap di dapur kayu belakang rumah untuk bakar ayam, buat sup tulang, mesin kelapa untuk buat sambal nyiur nasi kerabu, bermain dengan asap dan abu sampai badan jadi hapak..namun hamba puas, ibu lagi bersemangat menyediakan berbagai juadah lagi sampai hamba naik heran. Nak kata ibu minum susu anlene tak juga tapi ibu sangat cergas dari hamba..

Berbuka bersama ibu sangat indah dalam kenangan di sepanjang bulan Ramadhan ini. Hamba jadi takut lagi..takut hamba tak dapat lagi bersama di bulan Ramadhan tahun depan..

Seperti biasa bila nak raya hambalah orang yang akan mengilatkan tingkap rumah, dan kali ini hamba buat perkara yang sama juga, kerana sedar dekat raya nanti tiada yang sanggup jadi sukarela seprti hamba, maka hasilnya lihatlah dunia..taraaaa

eh silau lah..


Malam itu hamba ke masjid di kampung. Ya Allah rindu benar hamba dengan masjid tu. Banyak kenangan di masjid tu sejak dari zaman kanak-kanak hamba. Sejak masjid tu asalnya dari madrasah kecil yang hanya mampu memuatkan seratus orang penduduk kampung untuk bersolat sahaja.

masjid yang meninggalkan banyak kenangan buat hamba dan sekelian orang kampung


Malam itu hamba dengar sahutan selawat Nabi saw perlahan saja…tak semeriah zaman dulu..zaman hamba kecil, hamba akan jerit dengan kuat dan penuh bersemangat bersama semua penduduk kampung, sampai bergegar satu kampung, sampai naik ke langit tujuh suara kami menyahut selawat nabi..kerana kami yakin malaikat juga menyahut suara kami..tapi sedih..sekarang tidak lagi..malam itu hamba menangis sambil solat terawih..di saat witir, airmata hamba makin laju…

kenapa?

Kerana hamba membayangkan andai itu solat terawih terakhir hamba di masjid di kampung hamba…hamba sedih bila lagi agaknya hamba akan berjemaah bersama orang kampung. Hamba lagi sedih bila lihat hanya tinggal warga emas dan kanak-kanak ke masjid itu, banar kata Nabi saw “Bila di akhir zaman..akan banyak tumbuh masjid yang tersergam indah tetapi kosong, dan bila dah akhir zaman, hanya orang-tua yang ke masjid orang muda tidak mahu ke masjid lagi …” padahal kita ni bukan kaya sangat sampai sibuk nak uruskan harta macam Nabi Sulaiman hingga nak berjemaah pun tak mampu…hmmm..nangis!

Habis terawih pun dah tak ada moreh di masjid..tak macam dulu-dulu..meriah sangat selepas terawih dan part itulah yang hamba and the gang tunggu bila habis terawih..tapi sekarang setelah bersalaman masing-masing berlalu….hmmm sedih lagi.

Maka esoknya, tibalah saat mahu meninggalkan kampung dan halaman rumah yang penuh bunga ditanam ibu, Sekali lagi (dah banyak kali) hamba takut, risau sendiri, dalam hati hamba, nak sangat balik lagi, nak sangat tengok ibu lagi dan nak sangat ulangi semua suasana di kampung bersama ibu, tapi hamba takut kesampaian ke tidak…kerana masa terus berlalu dan waktu tidak pernah menunggu..apa-apa pun tawakkal tu Alallah.

Hamba cium tangan ibu, pipi ibu, dahi ibu, peluk ibu..dlaam hati hamba meraung-raung tak mahu tinggalkan ibu. Ibu pun begitu tapi ibu tak pernah bagitahu. Kadang-kadang hamba terfikir kan bagus kalau hamba tak sekolah je, kerja estet atau menorah getah je di kampung, tak merantau dan tinggal je dengan ibu kahwin dengan orang sekampung tinggal je di kampung jadi teman ibu sampai habis episod drama hamba ini…

Tapi itu semua bukan hamba yang karang jalan cerita hamba di dunia ini, perancang yang baik adalah semua dari Allah swt. Hamba ni watak sahaja dalam drama di pentas dunia ini. Kita tidak pernah tahu di mana ajal maut jodoh pertemuan dan rezeki kita, kita hanya mencari tapi Allah swt yang memberi.
Hamba akur..

Dan cerita hari ini setakat ini..kisah hidup insyaallah panjang lagi…setiap hari kenangan akan pergi..bergerak bersama masa..kita membilang hari..untuk esok lusa yang tidak pasti..yang semakin hampir…hampir dengan satu titik akhir.

Comments

Popular posts from this blog

~Jom minum air suam~

Pemberian terselindung

HAKIKAT SEDEKAH